Posted by: ibnradziah | July 17, 2008

Menyikap Kurnian-Nya

Di manakah kedudukan hati kita tatkala ujian duniawi rangkus menyerang dari setiap penjuru menekan kuat pundah iman yang tidak berperisai ampuh,hanya sesekali sahaja tanda-tanda yang sering kabur kembali menyetap sedar dari lamunan berduri supaya mengingati dan menyelami tindakkan yang telah terlanjur kepada siapa kita akan dikembalikan kelak.Hari ini,manusia seolah-olah menjadi kaku dalam memilih hala tuju yang bisa menghubungkan jalan-jalan duniawi bersambung kukuh dengan jalan-jalan ukhrawi yang kekal abadi.Seorang sahabat pernah bertanya kepada penulis tentang masalah seumpama ini,yang jelas fenomena yang tidak sihat bakal membelenggu dan bersarang di dalam hati manusia jika keadah paling tepat tidak dicernakan dengan baik.

Setiap manusia seharusnya peka dalam mengingati serta bersyukur dengan segala nikmat-Nya yang bertandang.Kekadang melalui pemberian-Nya inilah dijelmakan bersama ujian yang menyikap tabir perwatakan sebenar manusia,sejauh manakah rasa terima kasih kita menjernihkan sesuap kurnian-Nya.

“…dan seandainya kalian menghintungkan nikmat Allah,nescaya kalian tidak dapat menilainya”

Ibrahim(14:34)

Terdapat banyak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada manusia baik dalam keadaan tersedar mahupun sebaliknya.Dunia ini,merupakan ciptaan-Nya untuk menempatkan manusia yang mana di dalamnya terdapat halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi dan disusuri untuk sampai ke penamatnya.Namun hanya ilmu dan akal yang sihat sahaja dapat menempuhnya tanpa sebarang kebimbangan dan ianya adalah pilihanraya yang paling dahsyat dalam menentukan keputusan yang baik dapat dipaksikan tika di akhirat kelak.

Allah Taala berfirman;

“Dia yang telah memberikan nikmat-nikmat-Nya secara sempurna kepada kamu baik yang zahir mahupun yang batin”

Luqman(31:20)

Apakah tergamak kita berfikir bahawa dengan berjalan menggunakan kedua-dua belah kaki itu sesuatu yang mengecewakan dibandingkan dengan mereka yang mampu meluncur laju dengan kenderaan tanpa rasa penat sambil mampu beristerehat sambil mengenakan alunan bait muzik yang mengasyikkan padahal di sana terdapat masih ramai manusia lain yang tidak berkaki mengerah segala kudrat untuk bergerak tidak pula mengeluh durja.Mereka pula bijak mengurus tadbir diri supaya sentiasa menuntunkan ucapan syukur kepada Allah Taala kerana masih memberi peluang kepada mereka untuk bergerak mencari sesuap nasi bagi menampung hidup.Mungkin sebab itulah tidak kasar mengatakan manusia tidak mempunyai sifat perikemanusian di ibaratkan seperti binatang.Amat pedih tuduhan itu ditujukan kepada mereka yang pandai berfikir namun mungkin itulah cara Allah Taala mendidik jiwa manusia supaya berwaspada dalam tindakkan.

Allah Taala berfirman;

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang layak kamu dustakan”

ar Rahman(55:13)

Apakah kita berfikir dengan hanya mampu berdiri tegak di atas kedua-dua belah paha dan kaki itu sesuatu yang biasa sedangkan masih ramai yang tidak dapat merealisasikannya.Apakah kita merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan mata tanpa ada rasa kesangsian ditimpa sesuatu yang bisa menggangu gugat kepuasan semasa beradu dan bersemayan padahal masih ramai manusia lain yang tidak dapat merasai nikmat tidur kerana dibebani dilema mesteri yang meresahkan.Pernahkah kita merasai nista tatkala dapat menyatap makanan yang lazat dan minuman yang melegakan kondisi tubuh badan,sementara masih terdapat sebilangan mereka melihat sesama mereka apakah bisa mengisi sesuatu untuk mengalas keluhan perut yang merobek sakit pada hari tersebut.

Renunglah betapa indahnya ciptaan Allah Taala dengan keajaiban kejadian manusia yang begitu unik mengikut perspektif sains sehinggalah terbentuk dzat fizikal manusia yang cukup sifat dan tiada cacat celanya.Apakah kita merasakan dengan melakukan pembedahan plastik untuk merubah ciptaan asal daripada penciptanya merupakan sesuatu yang membanggakan kononnya untuk kelihatan lebih cantik dan bisa menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.Apakah kita sanggup menukarkan segala sifat kesempurnaan yang dianugerahkan itu dengan nilai emas sebesar atau setinggi Bukit Uhud.Apakah kita sanggup menggadaikan pancaindera kita semata-mata untuk mendapat habuan dunia dengan cepat lagi lumayan sehingga menyukarkan kita melaksanakan tuntutan syara’ dan ibadat-ibadat lain yang memerlukan khidmat ikhlas dari pancaindera kita.Mereka yang hanya meletakkan akal di bawah tahap yang sebenarnya,sanggup melakukan semua itu tanpa panjang akal dalam membuat tindakkan,sedangkan mereka yang kurang siuman pun apabila ditanya perihal supaya membuat pilihan antara kekayaan harta dengan anggota pancaindera,bisa menentukan jawapan dengan tepat.

Percayalah walaupun dalam penderitaan dalam merencanakan perjalanan hidup,semua itu merupakan ujian daripada-Nya yang tahu apakah yang terbaik untuk dibuntuhkan kepada sekalian hamba-hamba-Nya yang pandai meletakkan nilai harga Islam pada tempat yang sepatutnya.Cuba peruntukkan masa selama lima minit hingga sepuluh minit dihamparan tilam sebelum mata dipejamkan untuk merenung sejenak,apakah khidmat yang telah kita abadikan sepanjang hari tersebut sebagai saham untuk kita petik hasilnya di akhirat kelak bagi menjamin tempat di mahligai indah atau akan menempah kesengsaran hidup yang pedih.

Allah Taala berfirman;

“Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah.Apakah kalian tidak memperhatikannya?

adz Zariat(51:21)

Jangan nodai diri dengan kesan kotoran degil sedangkan kita mengetahui segala nikmat itu adalah pemberian ikhlas daripada-Nya yang hanya ingin melihat kita mempersiapkan diri dengan amal pahala untuk dipersembahkan kepada-Nya di akhirat nanti.

Allah Taala berfirman;

“Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah,tetapi mengikarinya…”

an Nahl(16:83)

Hanya Allah Taala sahaja yang tahu akan kebenarannya…

Posted by: ibnradziah | July 14, 2008

Utaian Doa Baginda Yang Bertamu.

Abdullah nama diberi,merupakan anak kepada seorang sahabat Nabi s.a.w iaitu Abu Talhah.Abdullah adalah insan pertama yang didoa oleh baginda s.a.w semasa masih dalam proses persenyawaan di dalam rahim ibunya lagi agar hidupnya diberkati Allah Taala dan buktinya,sehingga dikurniakan sembilan orang anak yang mana semua putera dan puterinya menghafal Quran yang tersemat kemas di dada.Beliau adalah insan anugerah tuhan sebagai ganti kepada dzat tubuh abangnya yang meninggal dunia semasa gigih melaksanakan tanggunjawab yang diamanahkan oleh ayahandanya untuk berdagang walaupun beliau tidak langsung menatap apatah lagi bergurau mesra dengan arwah abang kandungnya itu.

Abu Talhah adalah seorang ahli perniagaan yang sangat rajin,dan tidak pernah buntu dari berusaha walaupun terpaksa menongkah perjalanan hidup sebagai seorang perniaga yang adakala dilimpahi keuntungan dan adakala dirundung nasib yang tidak baik bagi menampung ahli keluarganya melalui hasil perniagaannya itu,dan yang paling mulia kekuatan akidahnya yang memungkin beliau melaburkan keuntungannya itu pada jalan Allah demi melihat Islam menjadi suatu cara hidup yang rasional dan relevan untuk dilaksanakan.Pada suatu hari,abang Abdullah menderita jatuh sakit yang teramat sangat.Beliau cuba memaksa dirinya untuk meneruskan tugasan membawa dagangan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Bagaimanakah keadaan anak kita wahai Ummu Sulaim?“Tanya Abu Talhah kepada isterinya ketika mana sampai di pintu rumah setelah pulang dari berdagang.

Tiba-tiba Abu Talhah merasakan isi rumahnya menjadi sepi sahaja,dan terdetik di dalam hatinya kepelikan suasana pada hari tersebut tanpa timbul rasa sangkaan yang tidak baik.Walaupun isterinya tercinta menyambut beliau dengan kuntuman senyuman untuk menghiburkan hati dan perasaannya yang sudah kepenatan tersisa dari mengurus perniagaan sepanjang hari.Namun,seolah-olah senyuman yang menyambutnya itu dilakukan dengan cara terpaksa menguyur bujur kaku pada raut wajah.Manakala sang anak-anak pula mengambil sikap untuk membisu seribu bicara,seperti di sana wujud sesuatu yang disembunyikan.

Isteri Abu Talhah,sejujurnya mempunyai perwatakan seorang isteri dan ibu yang bisa menyelami perasaan anak-anak dan suaminya maka tidak hairanlah anak-anaknya amat patuh dan taat pada setiap susunan percakapan beliau yang mengandungi unsur nasihat dan mendidik jiwa.Beliau sangat pintar dalam mencorak jawapan pada setiap masalah atau persoalan yang timbul secara profesional tanpa menyinggung perasaan dan hati mana-mana pihak malah bijak meletakkan suasana dalam keadaan aman dan tenang.Beliau telah berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak membuka mulut walaupun ditanya bertalu arus dan menyerahkan segalanya pada kebijaksanaan akal fikirannya untuk menjernihkan suasana itu.Tatkala debu padang pasir masih bertebangan manja dari pakaian dek sesekali ditiup angin membelai lembut menempa,isterinya menjawab dengan tenang sambil bibir mengukir senyuman manis dalam paksaan.

Keadaan semakin baik dibandingkan sebelum abang tinggalkannya“Jawab Ummu Sulaim sambil tangannya yang halus mengusap keringat yang meleleh membasahi pipi dan leher suaminya tercinta.

Makan malam terus dihidangkan tanpa bercakap panjang,lalu diajak suaminya menjamu selera bersama.Beliau berusaha menjaga dan mentadbir raut wajahnya seperti hari-hari sebelum ini.Kepulangan suaminya disambut dengan hidangan santapan yang paling lazat yang pernah dihidangkan sebagai suatu strategi untuk mengalih pandangan akal fikiran suaminya melayari indah malam tersebut tanpa gambaran sesuatu yang mampu mengundahkan hati kekasih yang dicintainya itu.Malah beliau berusaha menampilkan peragaan yang cukup cantik dan indah untuk melahirkan rasa cinta kepada suaminya seperti semasa di awal perkahwinan dahulu sehingga suaminya terpaksa tunduk mengalah seketika.Malam hampir ke kemuncaknya,selepas sahaja selesai menyatap hidangan dengan rasa syukur mereka terus membasuh tangan dan bersedia untuk beradu di kamar yang dihiasi cantik.Betapa istimewa layanan yang dipersembahkan Ummu Sulaim kepada suaminya pada malam tersebut sehingga tertumpahlah seluruh muatan kasih dan kerinduan Abu Talhah terhadap isterinya serta melenyapkan sama sekali rasa kepenatan dan keraguan yang menghantui sejak ketibaannya di rumah dalam hanyutan asmara dana menyusur indah di atas ranjang.Bila sahaja keadaan kembali sempurna,barulah tirai drama yang sebenarnya disinsing tinggi,maka berkatalah si isteri kepadanya.

Bagaimanakah pandangan abang,jika seseorang meminjamkan sesuatu barang kepada tetangganya.Tiba-tiba barang tersebut diminta kembali oleh tuannya.Bolehkah tetangganya yang meminjam itu menolak permintaaanya?“Sambil menguntumkan senyuman seperti sang bidadari syurga.

Sudah tentu tidak“Jawab Abu Talhah dengan yakin ditambah rasa kehairanan yang terpampar pada kekerutann wajahnya.Dalam keadaan sedemikian,isterinya cepat-cepat menyelah dengan cermat.

Relakah dirimu seandainya anakmu dijemput oleh Allah Taala untuk mengadap-Nya,wahai kekandaku“Dengan mata berkaca-berkaca Ummu Sulaim seolah-seolah turut merasai kehilangan anaknya itu yang selama ini menjadi penyeri di dalam keluarga.

Maka terjawablah semua persoalan yang bermain kalut dalam fikirannya.Jelas,anaknya telah kembali ke rahmatullah.Namun begitu tidak tertahan lagi gelojak api amarahnya kepada isterinya sambil linangan air mata kasih bercucuran membasahi pipinya mengenang dalam lamunan pemergian seorang anak kembali keĀ  pangkuan Sang Pencipta.

Mengapa engkau sembunyikan khabar duka ini dari pengetahuanku sehingga aku terlanjur bermesra denganmu seperti ini dan baru sekarang kamu memberitahu hal yang sebenarnya“Kata Abu Talhah setelah berjaya menahan amarahnya itu dari bertindak liar di luar lingkungan sifat perikemanusian dan itulah yang diajar oleh baginda s.a.w tika berhadapan dengan situasi seumpama ini.

Maka keesokan harinya sebaik sahaja menunaikan solat fardhu subuh,beliau bergegas bertemu Rasulullah s.a.w untuk mengadu perihal yang berlaku semalam.Mendengar akan kesabaran dan kebijaksanaan yang diperlihatkan oleh isteri Abu Talhah itu,Rasulullah telah menuturkan bait kata-kata yang berkat dan mengandungi doa.

Semoga Allah memberkati kamu berdua malam tadi

Ternyata sungguh menakjubkan doa Nabi itu.Tidak lama sesudah Ummu Sulaim bermesraan dengan suaminya pada malam itu,dia bisa mengandung lagi.Tatkala genap usia kandungannya,ketika itu beliau bersama-sama suaminya dan baginda s.a.w serta para sahabat yang lain menyahut seruan daripada Allah Taala untuk berhijrah dari Kota Makkah ke Kota Madinah.Dalam perjalanan yang penuh barakah itu,tiba-tiba Ummu Sulaim mula merasakan tanda-tanda akan bersalin sehingga terpaksa ditinggalkan bersama suaminya seketika sedangkan mereka yang lain meneruskan perjalanan menuju ke Madinatul Munawwarah.

Ya Allah,Tuhanku“Mengadu Abu Talhah dengan penuh pengharapan seolah-olah beliau jua turut merasai penderitaan dan keperitan isterinya menahan rasa sakit teramat sangat.Tambahnya lagi;

Engkau tahu betapa senangnya hatiku jika aku dapat bersama baginda s.a.w merasai nikmat berhijrah sepersis seruan-Mu yang sangat Agung supaya melaksanakan suruhan tersebut sedangkan sekarang aku tertahan di sini sebagaimana Engkau ketahui“Rintih Abu Talhah.

Kekanda..!“Panggil isterinya.

Sesungguhnya rasa sakit perutku ini telah pun hilang.Marilah kita lanjutkan perjalanan dan mengejar kelompok utama di hadapan“Ujar isterinya tanpa wujud kesan menahan penangan rasa sakit sebentar tadi.

Sebaik mereka berjaya menjejakkan kaki di Kota Madinah,hanya beberapa saat sahaja Ummu Sulaim merasa kembali kejerihan sakit tadi dipikulnya semula dan beberapa ketika selepas itu beliau berjaya melahirkanĀ  seorang bayi lelaki.Maka bersuka rialah Abu Talhah dalam sujud penuh kesyukuran kepada Ilahi kerana secara tidak langsung ianya bisa menghilangkan duka hatinya semenjak kehilangan anaknya dahulu.Namun,kuasa Allah mengatasi segala-galanya.Maka berkata Ummu Sulaim kepada seorang anaknya yang lain dalam kegembiraan,iaitu Anas.

Adikmu ini kurnian daripada-Nya.Maka jangan disusukan oleh sesiapa pun sebelum engkau membawanya mengadap baginda s.a.w“Kata Ummu Sulaim dalam alunan zikir yang tidak putus-putus.

Berpagi-pagian si Anas membawa adiknya yang baru tujuh hari kelahirannya bertemu Rasulullah s.a.w dengan membawa beberapa biji kurma.Rasulullah s.a.w berkenan menerima kunjungan yang mulia ini,lalu diambil oleh Rasulullah s.a.w biji kurma tersebut maka dikunyahnya sebelum disuapkan ke dalam mulut bayi itu.Kemudian baginda s.a.w memperkenan untuk menamakan bayi tersebut dengan nama Abdullah.Nama insan yang pernah wujud dalam keluarga Abu Talhah.

Sekarang Abdullah sudah menjadi bapa kepada sembilan orang anak yang berjaya meninta lantunan ayat-ayat suci el Quran di dada berkat limpahan doa Rasulullah s.a.w kepadanya yang menjalar jauh menusuk setiap urat nadi anak-anaknya dan mereka adalah cucu kepada Abu Talhah dan Ummu Sulaim.Semoga Allah merahmati mereka sekalian.

Ameen.

Posted by: ibnradziah | July 14, 2008

Bingkisan Doa Menyuluh Kerabaan Malam.

Dambus perjalanan seorang hamba yang cintakan Ilahi tidak pernah sirna dari dugaan badai yang melanda bak pokok yang tinggi melambai yang ditiup angin bertarian lembut mahupun menderai kencang.Namun insan yang di anugerahkan keimanan dan ketaqwaan dalam merancang hala tuju yang bertepatan dengan el Quran dan as Sunnah Nabawiah perlu memanfaatkan segala kelebihan untuk meraih cinta-Nya yang agung lagi kudus.Nah,tatap sahajalah semangat yang tak pernah luntur ditunjukkan oleh insan yang bakal mengetuai sekalian makhluk semenjak insan pertama Nabi Adam a.s sehingga umat di akhir zaman di Padang Mahsyar kelak,iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang menuntun manusia sejagat supaya mentauhidkan Dzat Yang Maha Kuasa dengan keperibadian yang cukup sempurna dan menyentuh setiap hati yang dahagakan sentuhan serta belaian Iman.

Allah Taala berfirman;
Sesungguhnya dirimu (wahai Muhammad) mempunyai kelakuan budi pekerti yang sangat tinggi
el Qalam (68:4)

Akhlak yang ditonjolkan oleh baginda s.a.w sangat cantik lagi sempurna dan amat mudah untuk ditauladani yang pasti membuahkan ganjaran pahala yang banyak serta tidak perlu mengerah keringat untuk mencatat saham dalam papan bursa catitan amalan harian manusia,tetapi sejauh manakah kita sedar pekerjaan yang tidak bergaji ini dilaksanakan berterusan dalam merentasi arus ombak yang tidak kenal sesiapa.Jelas hanya keimanan tulus dan telus sahaja,yang bisa menyuluh perjalanan hamba-hamba-Nya dalam kerabaan menuju ke perhentian terakhir seperti jalan yang dijejaki para nabi,para solihin,para muttaqin dan para syuhada’ berpangkalan di akhirat nun jauh di sana.Doa merupakan salah satu keadah yang diperlihat dan dipertontonkan oleh baginda Nabi s.a.w sebagai suri ikutan kepada umatnya dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala ketika mana sahaja berada baik tika keadaan senang mahupun buntu di kegelapan terowong bertemankan pelita usang kerana rintihan hamba-hamba-Nya yang ikhlas pasti mendapat perhatian untuk dipertimbangkan seperti janji-Nya di dalam el Quran.Usah mengeluh seandainya permohonan dan permintaan belum terlaksana kerana mungkin di sana Allah Taala ingin menguji tahap kesabaran kita atau akan digantikan dengan kebajikan yang lain senilai permintaan kita itu dan jika tidak,yang pasti ianya akan dibawa di alam akhirat abadi nanti.

Allah Taala berfirman;
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku,maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-ku agar mereka senantiasa berada dalam petunjuk
el Baqarah (2:186)

Pada post kali ini dan seterusnya,penulis akan cuba mengajak para pembaca menggali semula khazanah yang telah ditinggalkan oleh manusia agung dalam kerangka untuk menilai semula perwatakan diri mengikut acuan dan kehendak yang telah diwartakan dalam el Quran dan Sunnah Nabi s.a.w agar bisa dijadikan pegangan hidup yang autentik dan prolifik ke arah menjana kehidupan muslim yang mantap.Senario ini hendaklah dipandang serius dalam kemantangan berpaksi keyakinan kerana peluang dan ruang seumpama ini belum tentu hadir sendainya usaha untuk menghadirkannya hanya indah di bibir dan hanya bena pada pandangan sahaja.

Penulis akan mengimbau kembali sirah perjalanan mereka yang pernah berada pada jalan yang diredhai oleh Allah Taala yang mana doa mereka dimakbulkan tanpa ada penghalang(hijab) terus sampai kepada Allah Taala secara langsung berdasarkan warid hadith yang benar.Semoga sekelumit usaha penulis ini,bisa menjadi pendorong kepada para pembaca dan penulis sendiri agar tidak jenuh untuk berdoa mengharapkan pertolongan daripada-Nya dan menyerahkan segala ketentuan dalam bingkisan takdir-Nya.Dengan izin daripada Allah Taala,penulis akan menerbitkannya secara bersiri dan berperingkat,bersesuaian dengan keadaan semasa yang bisa dijadikan ikutan dan tauladan yang ampuh untuk sama-sama membesarkan Ilahi dalam menjalani pelayaran bahtera yang mencabar ini dengan mendahulukan kisah doa munajat baginda s.a.w dan di ikuti para sahabat,serta para wali Allah Taala.

Posted by: ibnradziah | July 13, 2008

Luahan hati

Perasaan yang lahir tulus dari hati,
kerana kasih dan cinta kepada Ilahi,
qudus murni bagaikan permata suci,
dan di sinilah segala dimulai.

Bibir ketandusan ungkapan berbicara,
untuk meluahkan rasa cintaku padanya,
petunjuk Ilahi menderai bahagia,
kerana itulah cinta yang sebenarnya.

Wahai Tuhan kurniakan kekuatan jiwa,
untuk aku buktikan cinta-Mu tiada kecewa,
namun apakah dirinya bisa menerima,
dikala aku sukar menyusun bicara.

Aku redha akan ketentuan-Mu nanti,
usah leraikan apa yang telah dipatri,
andai dirinya tercipta untuk diriku ini,
satukanlah hati kami kekal abadi.

Andai daku mampu menyusun bait kata-kata,
peliharalah kesuciannya dari dosa noda,
bersemilah kasih kekal selamanya,
bahagia abadi hingga ke syurga.

Posted by: ibnradziah | July 12, 2008

Tinta Bicara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih

Segala pujian dipanjatkan kepada Dzat tuhan sekalian alam.Selawat dan Salam ke atas Nabi Junjungan Mulia Muhammad s.a.w serta para ahli keluarga baginda s.a.w dan para sahabat yang diredhai oleh Allah Taala semuanya.Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu,hamba dan rasul-Nya.

Allah Taala berfirman;
Sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya berselawat ke atas Nabi(Muhammad).Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dengan sebenar-benar selawat dan salam
el Ahzab(33:56)

Utaian pujian terlebih dahulu dihamburkan kepada Dzat Yang Maha Esa yang menguasai tujuh petala langit dan tujuh petala bumi serta salam dan selawat kepada abid yang sempurna dari segala sifat terkutuk dan tekeji,baginda Muhammad s.a.w yang membawa risalah tauhid yang cukup agung sebagai pendokong dan pembawa risalah para rasul yang tedahulu.Ucapan syukur meniti dibibir dalam basahan yang menguyu kerana limpahan rahmat dan nikmat yang menggunung tinggi sepersis sifat-Nya yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi yang mengandungi pengkhabaran tersurat mahupun tersirat untuk mendengar hamba-hamba-Nya melafazkan bait ucapan syukur di atas kurnian-Nya ini.Namun,kadang-kadang makhluk yang bernama manusia ini sering alpa dengan pelayaran yang tidak beradar dan berkompas sehingga mereka sering menyisih dari tujuan asal pengembaraan mereka di lautan yang bergelora ini.Ucapan terima kasih juga dibuntuhkan kepada Allah Taala kerana tidak pernah sirna mengurniakan dua nikmat tertinggi iaitu nikmat Iman dan Islam.Iman diumpamakan sebagai nadi dalam roh abid seseorang muslim,dan ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan keyakinan terhadap perkara-perkara ghabiat yang telah dijelaskan di dalam el-Quran dan as-Sunnah Nabawiah seperti kewujudan Dzat Yang Maha Perkasa yang mentadbir alam semesta.Seseorang muslim belum tentu diterima amalannya seandai tidak disertakan dengan Iman.Kerana jelas tika seseorang itu begelar muslim lagi beriman,beliau akan melaksanakan segala tuntutan syara’ untuk dihadiahkan kepada Sang Pencipta.Iman merupakan syarat untuk disahkan setiap amalan diterima disisi Allah Taala atau sebaliknya.

Allah Taala berfirman;
Dan sesungguhnya sudah diwahyukan kepadamu (Muhammad),dan kepada nabi-nabi sebelummu:”Jika kamu mempersekutukan (Allah),nescayalah akan terhapuslah amalanmu dan sudah tentu kamu akan tergolong dikalangan orang-orang yang rugi“.
el Zumar(39:65)

Islam merupakan agama yang syumul yang menjana manusia amnya dan individu muslim khususnya ke arah kehidupan yang bersistem dan teratur dalam kerangka untuk mencapai konsep ubudiah dan tauhidiah yang di bawa oleh para Rasul yang mana ianya telah di ajar oleh Allah Taala melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s untuk diperjelaskan kepada manusia dari zaman ke zaman sejak daripada insan yang pertama Nabi Adam a.s sehinggalah nabi di akhir zaman Nabi Muhammad s.a.w.Syumul berasal dari perkataan bahasa arab yang bermaksud yang menyeluruh atau mencakupi segala aspek kehidupan individu,keluarga,masyarakat mahupun negara dalam menjadikan Islam itu sebagai suatu wadah dan Islam itu sebagai suatu pegangan akidah.

Allah Taala berfirman;
Pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redha Islam itu agama kamu
el Maidah (5:3)

Berhubung dengan ayat ini,Imam Ibn Kathir dalam tafsir beliau iaitu Tafsir Quran el Azim menjelaskan;
“Ini merupakan nikmat paling agung yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada ummat ini.Apabila Allah Taala menyempurnakan agama ini,ummat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w.”

as Syahid el Iman Hassan el Banna telah berkata;
Islam itu adalah suatu risalah yang jangkauan panjangnya meliputi semua abad,jangkauan bujurnya meliputi semua bangsa,manakala jangkauan dalamnya pula meliputi sekalian urusan dunia dan sekalian urusan akhirat
Kitab ar Risalah.

Petikan kata-kata beliau dalam halaman lain dalam kitab yang sama pula menyatakan;
Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan.Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat.Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan.Ia juga pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman.Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan.Disamping itu Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketentuan dan fikrah.Islam adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sah

Maka apa yang dijelaskan oleh el imam itu adalah suatu konsep yang cukup mudah untuk difahami oleh kita sebagai seorang muslim tentang pengertian Islam itu sendiri,yang melengkapi segenap dan segala aspek kehidupan manusia sejagat.Lihat sahajalah,Islam merupakan agama yang sangat cantik dan indah dan tidak ada apa jua perkara yang mana Islam tidak relevan untuk diamalkan dan ditegakkan.Semakin Islam dicaci dan ditindas,Islam semakin diminati,Islam semakin terselah,dan Islam semakin dicumburi.Oleh sebab itu,Islam sudah lengkap,komprohensif dan sempurna yang tidak berhajat kepada perkara lain dan tidak memerlukan serta menerima sebarang bentuk idealogi dan falsafah hidup yang lain.Maka jelaslah,Islam yang syumul ini ialah Islam yang boleh menyampaikan kepada kita apa sahaja yang kita perlukan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta.Apa sahaja persoalan yang timbul dan yang menghantui fikiran serta keterbatasan dalam bergerak,maka jawapan dan perjelasannya sudah tersedia ada di dalam sumber-sumber yang diterima pakai oleh syara’.

Allah Taala berfirman;
Janganlah kamu campuradukkan yang hak dan yang batil dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahui
el Baqarah (1:42)

Berhubung dengan ayat ini,Ibn Qatadah menegaskan;
Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang di terima oleh Allah Taala adalah agama Islam
Kitab el asas fil Tafsir

Ajaran Islam yang sempurna ini memerlukan sumber yang autentik lagi jelas sebagai suatu pegangan dan panduan hidup.Para ulama’ el mutaqadimin semenjak zaman sahabat,para tabi’en dan tabi’ tabi’en telah bersetuju tanpa wujud perbedaan pendapat tentang dua sumber utama Syariat Islamiah iaitu el Quran dan as Sunnah an Nabawiah.

Nabi pernah bersabda;
Aku tinggalkan kamu dua perkara,jika kamu berpegang teguh pada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya Iaitu Kitabullah(el Quran) dan Sunnahku
Hadith riwayat el Hakim dan Ibn Abdul Barr yang diterbitkan oleh el Baihaqi daripada Abu Hurairah.

Kedua-dua sumber ini mencernakan peta Islam secara tersirat yang dipenuhi pelbagai jalan yang saling memerlukan dan lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain.Jalan-jalan inilah yang penulis maksudkan sebelum ini sebagai syariat atau undang-undang Islam.Jalan-jalan tersebut tiada pilihan dan ianya wajib dilalui oleh setiap individu tanpa pengecualian kerana di sana tiada wujud suatu kebimbangan yang mungkin merencatkan perancangan hidup manusia walaupun tamadun sering berubah dan bertukar corak.Dan Islam itu merupakan agama yang mudah yang mana ianya tidak membebankan manusia dengan apa yang mereka tidak terdaya memikulnya.

Apabila syariat ini dipatuhi,ummat Islam akan mencapai hasanah dan kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.Kerana orang-orang yang diberi nur hidayah adalah dikalangan mereka yang terpilih ,maka amat rugilah kita yang berstatus Muslim yang diwarisi dari turun temurun daripada datuk nenek moyang kita seandainya tidak mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam el Quran dan yang di bawa oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w
melalui Sunnahnya.Tetapi ianya cukup malang dan mendukacita seandainya golongan yang mengaku dirinya sebagai Hamba Allah menentang agama Allah secara teranag-terangan mahupun secara tersembunyi dan mereka inilah yang dianggap sebagai golongan munafiq yang mana akan ditimpakan azab yang amat dahsyat dan pedih berbanding mereka yang tersedia berada di lembah kekufuran tanpa ada jalan hidayah dari awal lagi.Dan tidak mustahil golongan ini hanya akan memahatkan nama mereka di nota kaki pengenalan diri sahaja sebagai penganut agama yang syumul ini tanpa wujud suatu keprihatinan untuk melaksanakan tuntutan yang telah direkodkan di dalam el Quran dan Sunnah Rasul s.a.w dan dua lagi sumber yang diperakui iaitu ijma’ ulama’ dan qias.

Allah Taala berfirman;
Jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku(Allah),barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku maka dia tidak akan sesat dan tidakakan celaka.Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunnya pada hari Qiamat dalam keadaan buta
Thoha (20:123-124)

Akidah berasal dari perkataan arab iaitu ‘aqdun yang membawa maksud suatu keterikatan di antara hamba dengan Allah s.w.a.

Cuba kita renung kembali sejarah perjalanan dakwah Nabi Muhammad s.a.w setelah mana Nabi dilantik menjadi Rasul yang terakhir sebagai pembawa dan pendokong kepada risalah nabi-nabi yang terdahulu semenjak Nabi Adam a.s,maka Nabi Muhammad merupakan pembawa risalah yang cukup hebat sehingga tergolong di antara lima orang rasul yang menerima gelaran Ulul Azmi dan Nabi memberi jaminan keselamatan abadi dan inilah yang berlaku di saat Nabi Muhammad s.a.w memulakan dakwah baginda dan di saat baginda bangkit di kota Makkatul Mukarramah,antara lafaz yang paling awal yang disebut dan digarap oleh baginda s.a.w dalam kerangka membina serta menyelamatkan masyarakat,membawa hala tuju yang betul dan benar berasaskan kepada nilai-nilai agama.Maka Nabi telah melafazkan ungkapan yang cukup penting yang bisa menderaikan hati-hati yang lama dahagakan petunjuk daripada Sang Pencipta untuk merenung sejenak kejadian asal usul mereka.

Nabi bersabda;
Sembahlah kamu akan Allah Taala dan janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatu dan tinggalkan segala sistem selain yang ditaja oleh Islam
Hadith soheh.

Inilah kekuatan yang paling hebat,kekuatan yang dijana oleh baginda Nabi s.a.w dalam kerangka membina aqidah yang mantap,membina hubungan yang erat antara manusia dan Allah Taala kerana kekuatan aqidah merupakan kekuatan yang menjamin segala kebahagian duniawi mahupun ukhrawi.Peradaban dan tamadun tanpa aqidah adalah binasa,akhlak manusia tanpa aqidah adalah kecundang,ekonomi manusia tanpa aqidah adalah gawat dan segala apa bentuk yang dimiliki jika tidak disandarkan pada aqidah bakal menempa kebinasaan.Inilah yang telah berlaku sepanjang zaman,sejarah telah membuktikan bahawa ajaran yang dibawa oleh para Rasul yang dipilih oleh Allah Taala adalah sebenar-benar ajaran dan bukannya rekaan semata-mata.

Kita lihat orang-orang Bani Israel,mereka mempunyai kekuatan,kebendaan yang canggih,kemodenan yang hebat tetapi apabila aqidah mereka runtuh,Allah Taala telah binasakan mereka dalam suatu saat.Sebab itu persoalan membina aqidah adalah persoalan yang cukup penting dan mesti diberi keutamaan oleh pihak yang berwajib agar keharmonian dapat dibina setelah mana tapaknya telah berjaya dibuntuhkan.Tengok sahajalah tanggunjawab yang dipikul oleh Nabi s.a.w adalah amat berat kerana perlu membawa masyarakat Jahiliah pada masa itu supaya mentauhidkan diri kepada Allah Taala,dan mengeluarkan mereka dari kegelapan Jahiliah kepada cahaya Islam.Namun akhirnya,dengan kekuatan aqidah,Nabi Muhammad s.a.w berjaya memikul amanah tersebut dengan baik dan jayanya.

Jesteru itu,perjuangan membela aqidah seumpama perjuangan merentasai dan menongkah lautan yang luas,perjuangan menegakkan aqidah seperti perjuangan merentasi siang dan malam,dan perjuangan mempertahankan aqidah merupakan jihad yang paling penting supaya dapat mengajak manusia agar berperwatakan dengan sebenar-benarnya,yang bertepatan dengan fitrah manusia itu sendiri yang cintakan kedamaian,keharmonian dan kebahagian hakiki.

Melihat dengan mata berkaca-kaca keresahan yang terpampar pada sekumpulan camar yang bertebangan pulang ketika senja bersedia melabuhkan tirainya.Sang anak-anak pula,mula berlari-lari kecil mencari pelukan erat ibu dalam kuyupan membasah dek deraian hujan tidak putus-putus.Penulis sedar,walaupun terpaksa menanggung risiko yang bakal muncul dalam dunia penulisan tetapi berbekalkan semangat dan dorongan daripada teman-teman seperjuangan,penulis akan cuba menggarap karya-karya yang segar dan beritipati,yang pasti bisa dikongsikan bersama para pembaca demi melihat Islam dihormati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.Terkadang tinta yang sering menemani di kala buntu mencari rentak dalam rencah perjalanan sebagai seorang yang berdiri segak di bawah panji-panji Islam,terkulai dan hanyut dalam arus lamunan yang tidak bererti kerana hati sering mencari alasan untuk memusnahkan sisa-sisa yang ditinggalkan para mujahid Islam di bumi gersang sehingga mereka berjaya melakar potrait yang indah sebagai monumen-monumen sejarah silam untuk tatapan generasi yang cintakan perjuangan sebenar.Namun harapan penulis,agar rakan-rakan bisa memberi sumbangan idea dan pandangan yang bernas lagi membina kerana secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mutu penulisan dari masa ke semasa.

Ameen,
Wallahu a’lam bis sowad.

Kepada teman-teman dan para pembaca,terimalah…….

Categories

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.